Sunday 2 November 2008

Dari Sekolah Menuju Universiti III (Dedikasi Untuk Anak-anak Didik Yang Ditinggalkan)

Setelah kontrak saya sebagai guru ganti selesai di AP. Saya memilih untuk menyambung pengajian untuk peringkat yang seterusnya. Dengan meyimpan sedikit kewangan dulu saya mampu mendaftarkan diri di Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya (API ) dalam jurusan Undang-undang. Mampu kembali untuk meneruskan cita-cita menyambung pengajian adalah sesuatu yang berharga buat saya. Cuma saya sememangnya tidak menjangkakan hanya mampu berada di sana sekitar beberapa bulan. Beberapa peristiwa penting yang berlaku amat memberi kesan yang amat mendalam buat diri, dan ia kini menjadi pengalaman yang amat berharga buat saya. Akhirnya saya terpaksa menarik diri dari pengajian. Saya berhadapan dengan saat-saat sukar selepas itu untuk memulihkan semangat dan mengembalikan keyakinan diri.

Stesen Minyak & SMKA al-Mashoor (L)

Saya menjadi sedikit kebingungan selama sebulan. Banyak bermuhasabah dan menginsafi diri. Ia adalah antara saat-saat yang mampu dirasakan hampirnya diri dengan tuhan. Ia adalah detik yang tidak pernah saya rasai sebelum itu. Saya cuba bangun kembali menjejak kekuatan yang pernah dimiliki. Untuk mengalih perhatian dari menyesali sesuatu yang mungkin boleh disifatkan sebagai kegagalan, saya bermula kembali pada bulan berikutnya di sebuah kedai minyak yang terletak di Permatang Pauh sebagai jurupam. Apabila saya mendapat tawaran sekali lagi sebagai guru ganti di SMKA al-Mashoor ( L ) saya menerimanya. Untuk dua duti yang berasingan dalam sehari, saya telah memecahkan kepada dua bahagian, saya akan berada di sekolah pada waktu pagi sehingga tamat waktu persekolahan, sementara jam 4 petang hingga 11.30 malam saya akan berada di stesen minyak. Dan terdapat dua malam setiap minggu saya akan mengajar kelas tambahan B.Arab di Asrama AP untuk tingkatan 1 dan 2.

Saya tidak lama di SMKA al-Mashoor (L), cuma sekitar sebulan lebih sedikit. Sempat mengajar di kelas tingkatan 4 & 5 beberapa kali, dan kemudian peperiksaan akhir tahunpun bermula.


Pernah suatu hari di sana diadakan perjumpaan antara waris, pelajar dan guru kelas untuk mengambil rekod penilaiaan peperiksaan. Saya diamanahkan menjadi wakil guru kelas kepada tingkatan 5 Thoriq (kalau ingatan saya tidak silap ). Saya masih ingat ketika itu ada seorang pelajar kelas saya yang gagal 11 subjek pelajaran dalam peperiksaan percubaan SPM. Perasaan terharu saya ialah apabila saya terpaksa berhadapan dengan ibu-bapa dan waris mereka.

Ibu-bapa datang dengan harapan yang menggunung tinggi. Saya masih ingat lagi pertanyaan seoarang ibu tua kepada saya.

“Ustaz, agak-agak Ustaz dia boleh tak masuk universiti?” Saya kata “Insha Allah” Dan dia kemudian berkata: “ Kalau Ustaz kata macam tu tak pa la, lega saya rasa”. Saya ketika itu terasa seoalah-olah memberi harapan kepada seorang ibu.

Dan dalam ramai-ramai ayah, ada seorang ayah yang membuat leteran secara terbuka kepada anaknya di hadapan saya. Saya percaya dia adalah ayah yang amat perihatin. Anaknya kini berjaya juga ke universiti.

Sebahagian mereka yang masih ingatkan saya selalu mengirimkan SMS ucapan di hari raya. Ada beberapa nama yang saya masih mengingitinya seperti Salman, Mujahid, Muaz, Rahimi(Ting 5 ) Ibrahim dan Muhammad(Ting 6 ). Sayangnya musim peperiksaan menyebabkan ruang masa untuk kami berkomunikasi amat kurang. Cuma sempat bertadarrus bersama di surau ketika bulan Ramadhan, dan turun bersama sekali bermain Futsal itupun setelah beberapa bulan saya meninggalkan AL.

Saya meninggalkan AL serentak dengan hadirnya cuti hujung tahun, sementara kelas ting 5 sedang bersiap sedia untuk menghadapi peperiksaan SPM 2005.

No comments: