Showing posts with label Dedikasi. Show all posts
Showing posts with label Dedikasi. Show all posts

Sunday, 2 November 2008

Dari Sekolah Menuju Universiti III (Dedikasi Untuk Anak-anak Didik Yang Ditinggalkan)

Setelah kontrak saya sebagai guru ganti selesai di AP. Saya memilih untuk menyambung pengajian untuk peringkat yang seterusnya. Dengan meyimpan sedikit kewangan dulu saya mampu mendaftarkan diri di Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya (API ) dalam jurusan Undang-undang. Mampu kembali untuk meneruskan cita-cita menyambung pengajian adalah sesuatu yang berharga buat saya. Cuma saya sememangnya tidak menjangkakan hanya mampu berada di sana sekitar beberapa bulan. Beberapa peristiwa penting yang berlaku amat memberi kesan yang amat mendalam buat diri, dan ia kini menjadi pengalaman yang amat berharga buat saya. Akhirnya saya terpaksa menarik diri dari pengajian. Saya berhadapan dengan saat-saat sukar selepas itu untuk memulihkan semangat dan mengembalikan keyakinan diri.

Stesen Minyak & SMKA al-Mashoor (L)

Saya menjadi sedikit kebingungan selama sebulan. Banyak bermuhasabah dan menginsafi diri. Ia adalah antara saat-saat yang mampu dirasakan hampirnya diri dengan tuhan. Ia adalah detik yang tidak pernah saya rasai sebelum itu. Saya cuba bangun kembali menjejak kekuatan yang pernah dimiliki. Untuk mengalih perhatian dari menyesali sesuatu yang mungkin boleh disifatkan sebagai kegagalan, saya bermula kembali pada bulan berikutnya di sebuah kedai minyak yang terletak di Permatang Pauh sebagai jurupam. Apabila saya mendapat tawaran sekali lagi sebagai guru ganti di SMKA al-Mashoor ( L ) saya menerimanya. Untuk dua duti yang berasingan dalam sehari, saya telah memecahkan kepada dua bahagian, saya akan berada di sekolah pada waktu pagi sehingga tamat waktu persekolahan, sementara jam 4 petang hingga 11.30 malam saya akan berada di stesen minyak. Dan terdapat dua malam setiap minggu saya akan mengajar kelas tambahan B.Arab di Asrama AP untuk tingkatan 1 dan 2.

Saya tidak lama di SMKA al-Mashoor (L), cuma sekitar sebulan lebih sedikit. Sempat mengajar di kelas tingkatan 4 & 5 beberapa kali, dan kemudian peperiksaan akhir tahunpun bermula.


Pernah suatu hari di sana diadakan perjumpaan antara waris, pelajar dan guru kelas untuk mengambil rekod penilaiaan peperiksaan. Saya diamanahkan menjadi wakil guru kelas kepada tingkatan 5 Thoriq (kalau ingatan saya tidak silap ). Saya masih ingat ketika itu ada seorang pelajar kelas saya yang gagal 11 subjek pelajaran dalam peperiksaan percubaan SPM. Perasaan terharu saya ialah apabila saya terpaksa berhadapan dengan ibu-bapa dan waris mereka.

Ibu-bapa datang dengan harapan yang menggunung tinggi. Saya masih ingat lagi pertanyaan seoarang ibu tua kepada saya.

“Ustaz, agak-agak Ustaz dia boleh tak masuk universiti?” Saya kata “Insha Allah” Dan dia kemudian berkata: “ Kalau Ustaz kata macam tu tak pa la, lega saya rasa”. Saya ketika itu terasa seoalah-olah memberi harapan kepada seorang ibu.

Dan dalam ramai-ramai ayah, ada seorang ayah yang membuat leteran secara terbuka kepada anaknya di hadapan saya. Saya percaya dia adalah ayah yang amat perihatin. Anaknya kini berjaya juga ke universiti.

Sebahagian mereka yang masih ingatkan saya selalu mengirimkan SMS ucapan di hari raya. Ada beberapa nama yang saya masih mengingitinya seperti Salman, Mujahid, Muaz, Rahimi(Ting 5 ) Ibrahim dan Muhammad(Ting 6 ). Sayangnya musim peperiksaan menyebabkan ruang masa untuk kami berkomunikasi amat kurang. Cuma sempat bertadarrus bersama di surau ketika bulan Ramadhan, dan turun bersama sekali bermain Futsal itupun setelah beberapa bulan saya meninggalkan AL.

Saya meninggalkan AL serentak dengan hadirnya cuti hujung tahun, sementara kelas ting 5 sedang bersiap sedia untuk menghadapi peperiksaan SPM 2005.

Thursday, 30 October 2008

Dari Sekolah Menuju Universiti II (Dedikasi Untuk Anak-anak Didik Yang Ditinggalkan)

SMKA al-Mashoor (P) (2005)

Hari pertama saya tiba di SMKA al-Mashoor (P) ialah pada hari Jumaat. Kelas-kelas ketika itu sedang menghadapi ujian bulanan. Saya masuk ke sebuah kelas tingkatan 5 yang sedang menjawab ujian pada hari persekolahan yang seterusnya. Kelihatan penghuninya sedikit kehairanan dan tertanya-tanya siapakah yang tiba-tiba membuat lawatan ke kelas mereka hari itu. Setelah beberapa minit, saya kira mereka telahpun faham bahawa saya adalah guru ganti yang melaporkan diri kelmarin dulu. Setelah masa berlalu lebih kurang 20 minit, masing-masing memandang sesama sendiri, akhirnya ada yang bersuara:

" Masa (ujian) dah habis Ustaz". Baru saya tahu yang masa ujian sudah tamat. "Kenapa tak bagi tau?"Tanya saya.

Agaknya betullah students AP ni memang baik sungguh, sampai masa dah habispun tak sanggup nak bersuara.

Hari berikutnya saya berkesempatan buat pertama kalinya mengajar di kelas 2 Melur ( saya dimaklumkan nama kelas di AP sekarang telah bertukar). Sesi pertama sudah tentu berta'aruf terlebih dahulu. Dalam ramai-ramai saya dapati ada seorang anak didik yang saya kenal abangnya. Kami pernah bersekolah bersama suatu ketika dahulu. 'Hamnah' itulah nama pertama yang sempat saya ingat hari itu. Saya cuba menghafal nama anak-anak didik saya untuk hari-hari yang berikutnya. Pada mulanya saya diamanahkan untuk mengajar kelas-kelas tingkatan 3 ( Mawar & Melati ), namun kemudiannya saya ditukarkan untuk mengajar di kelas-kelas tingkatan 1 dan 2. Ini memandangkan kelas-kelas tingkatan 3 adalah kelas yang akan menduduki peperiksaan, sedangkan status saya sebagai guru ganti hanya untuk lebih kurang 3 bulan.

Nama-nama Anak-anak Didik Di AP

Selalu apabila saya bertemu semula dengan anak-anak didik saya, sebahagiannya ada yang bertanya: " Ustaz ingat (kenal) saya tak lagi?". Selalunya saya ingat, paling kurang rupanya masih ingat. Cuma setelah beberapa tahun ini anak-anak didik yang ditinggalkan semakin membesar dewasa, dan adakalanya saya sedikit keliru dengan rupa mereka yang lalu. Adalah sukar untuk seorang guru mengingat keseluruhan nama anak didiknya, tetapi tidaklah sukar untuk seorang guru mendoakan semuanya.

Anak-anak didik di sekolah-sekolah yang telah saya tinggalkan terbahagi kepada 3, pertama mereka yang saya ingat nama-nama mereka dan mampu mengenalinya, mereka adalah anak-anak yang kerap kali mengirim ucapan, dan bertanyakan pandangan mengenai beberapa permasalahan. Kedua, mereka yang saya ingat dan kadang-kadang lupa nama-nama mereka dan rupa untuk dikenalpasti. Ketiga ialah yang saya telah terlupa untuk mengingati nama-namanya. Dalam dedikasi tulisan-tulisan ini saya cuba untuk menghitung kembali nama-nama yang masih mampu saya ingat.


Tingkatan 3 SMKA (P) al-Mashoor 2005.

3 Mawar: Baiti ( Ketua Kelas, saya pernah ajar lukis pelan & dongakan utk KH ), Syafiqah ( pernah tunjukkan saya cara memanah dalam dewan ), Nadzirah ( selalu tanya bahasa Arab, ke KISAS tahun berikutnya, dimaklumkan kini di K.Mara Banting ) Nur Fatin Dini ( pernah hutang dengan saya coklat HACKS selepas dapat byk A dlm PMR, juga bdk kumpulan nasyid, dimaklumkan kini di Matr Kedah), Emma ( juga ke KISAS, dimaklumkan kini di Intec Shah Alam ) 3 Melur 2005:Hazirah ( KUIS ). 3 Melati 2005: N. Ashikin Azmi (masih di AP utk form 6, jg bdk kumpulan Nasyid ), N.Izati (jg bdk kumpulan nasyid, tak dapat dikesan), Dahlia ( pernah tolong saya carikan kerusi masa saya masuk kelas buat kali pertama ), saya cuma sempat mengajar untuk 2 kelas ini lebih kurang 2 minggu. Dua kelas lagi( Melur&Cempaka ) yang cuma sempat masuk sekali atau dua sahaja.

Tingkatan 2 SMKA (P) al-Mashoor 2005.

Sepatutnya saya masih mampu untuk mengingat semua nama dalam kelas 2 Melur AP 2005. Tapi satu dua peristiwa yang berlaku pada hujung tahun 2005 sedikit mengganggu memori ingatan saya. Hafalan-hafalan saya juga pernah sedikit terjejas. Berikut adalah nama-nama dari tingkatan 2 AP 2005 yang masih saya ingat. Hamnah, Yusra, Farhana, Izza, Syasya, Sofia dan Suhaila, Fardhu ( 2 Melur ). Nama-nama lain yang masih mampu diingat dari tingkatan 2, Haiza, Syikin, Hannan dan Farhani.



Tingkatan 1 SMKA (P) al-Mashoor 2005

1 Melati AP 2005, nama-nama berikut pernah meninggalkan nota-nota kecil tanda terima-kasih kepada saya, Nasirah Bt Nasaruddin, Syuhada, Liyana, Zamira, Fitri, Norsyimalaili (pernah serve air milo masa saya ajar kelas tusyen B.Arab), Siti Aisyah, Nur Amirah, Nadia Atylia, Nur Syuhada, Syuhada, Siti Hajar.

Nama-nama lain dari tingkatan satu, Wan Nur Syarmimi (maaf kalau silap eja, selalu tolong buka pintu ‘gate’ masa saya ajar kelas tuisyen ), Wan Nur Husniyah ( Ketua kelas, berkaca mata ), Nabilah ( saya pernah marah buat kerja lain masa saya mengajar ).

Dua Nama Dari Tingkatan 4 dan 5 AP 2005.

Hanya dua nama dari tingkatan 4 dan 5 AP yang saya kenal dan ingat. Tingkatan 4, Amal dan Nur Ain Fatihah ( dua adiknya saya pernah mengajar di Maktab Mahmud Bandar Baharu, Afnan & Amirah, ayah dan ibunya juga merupakan AJK PIBG MMBB 2007/08 ).

Tingkatan 5 AP 2005, Nurul Fitrah Bt Ariefin (Mikrobiologi UM ) dan Khansa’ Md Rashid ( Medic di Univ Zaqaziq ).

Tuesday, 28 October 2008

Dari Sekolah Menuju Universiti I (Dedikasi Untuk Anak-anak Didik Yang Ditinggalkan)

Sewaktu saya menerima tawaran pertama untuk menjadi guru ganti di SMKA Al-Mashoor Perempuan saya baru sahaja tamat pengajian di Universiti al-Azhar lebih kurang 6 bulan. Saya pulang ke Malaysia pada hujung Ogos 2004. Pada awalnya saya berhasrat menyambung terus pengajian saya untuk peringkat Sarjana di Universiti yang sama dalam bidang Usul Feqh. Untuk mencapai impian tersebut saya cuba mengumpul sedikit kewangan dengan merantau ke bumi asing pada cuti semester tahun 3, mencari sedikit sumber kewangan bagi menyambung pelajaran. Dalam perantauaan tersebut saya menimba sejuta pengalaman berharga yang tidak mungkin didapati dalam kelas atau menelaah buku pelajaran.

Namun impian tersebut terpaksa dipendamkan, hasrat keluarga untuk saya pulang ke tanahair saya turuti. Apalah gunanya mengejar impian andai tiada keberkatan dari ibu-bapa. Apatah lagi adik-adik yang masih ramai ketika itu semuanya masih belajar.

Ketika saya pulang ke tanahair saya mendapat makluman dianggarkan lebih 80, 000 graduan tempatan masih menganggur tiada kerja tetap. Saya merasakan kepulangan saya ketika itu cuma menambahkan lagi bilangan yang sedia ada. Mencari pekerjaan yang sesuai untuk membantu keluarga ketika itu memang amat sukar.

Sikap saya yang tidak suka menanti membuatkan saya hanya mampu menganggur di rumah cuma untuk tempoh 2 minggu. Saya terlihat iklan di sebuah kedai kereta, dan tidak malu untuk dinyatakan bahawa saya pernah berkerja sebagai pencuci kereta. Saya masih ingat lagi ketika seorang 'uncle' cina yang berkerja dengan saya sering bertanya:

"Tak malu kerja dekat sini, nanti kawan-kawan tengok, ada ijazah buat pa keja dekat sini"

Saya cuma tersenyum. Ketika itu kami sedang mencabut rumput di tapak penjualan kereta. Kadang-kadang saya juga ditugaskan menghantar surat-surat dan dokumen pejabat ke bank oleh bos saya yang berbangsa Cina. Cuma terasa sedikit keletihan sewaktu tibanya Ramadhan pada sebelah malamnya apabila saya perlu ke surau menjadi imam solat Tarawih pada tahun tersebut.

Di sebalik kerja yang tidak seberapa itu saya mampu menyimpan sedikit kewangan dan saya mula menyimpan hasrat untuk menyambung pengajian sarjana di universiti tempatan. Namun takdir telah menentukan saya terlibat dengan kemalangan dalam bulan Disember 2004. Mujur, tiada kecederaan parah cuma rasa sengalnya mengambil masa dua bulan untuk hilang.

Pada Mac 2005 kalau tidak silap saya,saya mula menimba pangalaman sebagai guru, guru ganti di SMKA al-Mashoor (P). Ia sebuah sekolah yang baik, yang juga mampu melahirkan insan-insan yang baik.

Hijrah (Dedikasi Untuk Anak-anak Didik Yang Ditinggalkan)

Agak lama saya meninggalkan blog. Hampir 3 bulan. Untuk menaip sesuatu, saya tercari-cari masa untuknya. Ya, saya telahpun berhijrah dari bumi Maktab Mahmud Bandar Baharu. Setelah diberi peluang untuk menabur bakti dan menimba pengalaman dalam dunia pendidikan di sekolah, akhirnya saya pergi juga.




Saya bersyukur kerana diberi kesempatan berada lebih kurang 3 bulan setengah di SMKA al-Mashoor (P) pada 2005 (sekolah pertama saya), sebulan setengah di SMKA al-Mashoor (L) 2005 (masa yang terlalu singkat untuk mengenali ramai), 3 bulan di bumi Maktab Mahmud Yan yang penuh makna pada 2006, dan berakhir di Maktab Mahmud Bandar Baharu selama 2 tahun 5 bulan (2006-2008) dengan pelbagai pengalaman yang sukar untuk dilupakan.



Terlalu banyak perkara yang ingin saya catatkan di sini terutama buat anak-anak didik yang dikasihi. Pernah berada di empat buah sekolah meskipun dalam tempoh yang singkat menyajikan pengalaman yang berbeza-beza. Ia amat menarik untuk dirakam sebagai pelajaran dan tatapan di hari kemudian.