Showing posts with label Reaksi Ringkas. Show all posts
Showing posts with label Reaksi Ringkas. Show all posts

Monday, 20 October 2008

Reaksi Ringkas Terhadap Fitna

Kita berkongsi perasaan untuk merasa terkilan dan marah terhadap tohmahan buruk yang dilakukan terhadap Islam. Meskipun dengan reaksi dan tindakan yang berbeza namun kita tetaplah umat yang satu apabila isu-isu yang berkaitan umat Islam sering menempati ruang hati dan fikiran. Kita melihat dua reaksi utama umat berhadapan dengan isu filem ‘Fitna’. Reaksi menyerang balas, dan reaksi agresif memperjelas. Adalah menarik untuk melihat dua reaksi tersebut dalam bentuk selari meskipun berbeza.

Sekiranya memboikot itu ingin dilihat dari sudut keputusan pendirian kerajaan berdasarkan beberapa faktor seperti ingin menghidupkan sensitiviti umat Islam terhadap kesucian Islam maka ia adalah suatu perkara positif yang wajar dipatuhi dan dihormati. Maka kita perlu bersama untuk ijtihad politik ini. Namun sekiranya ia cuma pendirian individu maka persoalan wajar atau tidak untuk menghukum Belanda secara keseluruhan kerana tindakan seorang rakyatnya adalah satu tajuk perbincangan menarik untuk diperpanjangkan.

Apakah perbuatan menghina tersebut merupakan perbuatan kerajaan Belanda dan majoriti rakyatnya meskipun tidak keseluruhannya, atau ia cuma tindakan perseorangan yang tidak diterima oleh majoriti kebanyakannya. Apakah kes memboikot barangan Belanda boleh disamakan dengan memboikot barangan Israel kerana dasar kerajaannya yang membantai umat Islam Palestin. Apabila kita berkata wajar meskipun tindakan perseorangan kerana kerajaan Belanda bertanggungjawab terhadap rakyatnya, maka kita juga wajar menghukum setiap kerajaan-kerajaan yang tidak pandai menjaga tindakan biadab rakyatnya seperti negara yang melahirkan Salman Rushdi dengan karya penghinaannya terhadap agama. Maka kita wajar memboikot India. Dan paling penting untuk diingat apabila kita berpijak dengan prinsip ini (wajar kerajaan dihukum keseluruhan kerana kesalahan seorang individunya), sekiranya berlaku tindakan segelintir umat Islam yang melampau dari ajaran Islam, maka kita negara umat Islam itu juga perlu menerima untuk dihukum oleh negara bukan Islam kerana sikap dan tindakan segelintir umat Islam yang merosakkan imej Islam itu.

Apapun tindakan boikot dari umat Islam terhadap barangan Belanda hanya mampu memberi kesan besar sekiranya ia dijayakan oleh majoriti umat Islam, dan negara-negara umat Islam pula mampu menguasai ekonomi dunia ini. Selagi kerjasama antara umat Islam dan negara-negaranya masih jauh untuk dicapai maka idea ini memerlukan idea-idea yang lain untuk sampai kepada perlaksanaan idea ini.

Bagi mereka yang telahpun kita ketahui membenci Islam, mewujudkan isu-isu seperti ini mampu membangkitkan kemarahan umat Islam. Kekalutan ini boleh dimanfaatkan oleh dua pihak iaitu pihak musuh yang ingin melihat apakah reaksi-reaksi umat Islam yang mampu digunakan untuk mencacatkan lagi keindahan Islam. Dan pihak Islam juga mampu mengambil kesempatan ini untuk lebih agresif memberi gambaran sebenar tentang Islam.

Umat Islam perlu bijak menggunakan kesempatan ini, dengan menilai perkiraan untung rugi secara cermat dan teliti. Selamat berjuang untuk mempertahankan agama.

Sunday, 19 October 2008

Nasyid: Medium Dakwah Atau Alternatif Hiburan

Zaman kanak-kanak sekolah dulu selalu juga masuk nasyid. Alam remaja di bangku sekolah menengah juga sesekali tidak ketinggalan, meskipun majornya aktiviti di sekolah menengah banyak dihabiskan dengan aktiviti persatuan, Badan Dakwah & Kebajikan. Turun bernasyid hanya sebagai 'harmoni' pelengkap kumpulan 'Khairan'. Kumpulan yang pernah berhasrat membuat album tetapi tidak kesampaiaan. Kemudiannya 'Khairan' terlebur dengan penghijrahan anggota-anggotanya menyambung pengajian. Cuma baru-baru ini saya bertemu ketuanya yang telahpun menubuhkan kumpulan baru, kumpulan Zulfan. Kumpulan nasyid yang sebaya ketika itu ialah 'Sabda' SMKAK. Sabda melangkah jauh sedikit dengan album mereka. Dan Amarpun lahir secara sendirian selepas itu.Pada saya nasyid boleh dijadikan sebagai alternatif hiburan. Turun bernasyid sesekali macam juga turun padang bermain bolasepak. Tapi rasanya bermain bola lebih membakar auranya.

Namun apabila usia semakin meningkat dewasa, kita telahpun mengurangkan penumpuan terhadap perkara-perkara tersebut untuk diberi kepada perkara-perkara lain yang lebih menuntut kepada kesungguhan. Bersama anak-anak sekolah adakalanya mengenangkan zaman silam. Zaman yang tidak akan kembali lagi. Ada anak-anak bertanya mengapa ustaz tak berdakwah dengan nasyid?Ada orang berkata nasyid boleh dijadikan medium dakwah. Cuma saya sesekali tertanya-tanya, sejauh mana nasyid mampu berdakwah, mengislamkan insan, menyedarkan ummah yang alpa dan leka, menaikkan semangat cintakan agama.


Persoalan ini bukanlah untuk menafikan sumbangan yang dilakukan oleh mereka yang berada dalam bidang ini. Persoalan ini mungkin sekadar muhasabah diri buat semua.Dengan lambakan nasyid yang sedang bercambah di bumi Malaysia ini, saya percaya nasyid mampu dijadikan alternatif hiburan. Untuk menjadi medium yang berkesan dalam dakwah ada lembaran-lembaran baru yang boleh dikaji. Adakalanya mendengar nasyid-nasyid yang dulu-dulu lebih membangkitkan kesedaran dari nasyid-nasyid sekarang. Selamat berjuang untuk semua...