Showing posts with label Renungan. Show all posts
Showing posts with label Renungan. Show all posts

Sunday, 19 October 2008

Nilai Waktu Dalam Kehidupan Muslim

Mafhum sabda Rasulullah sallallah alaihi wasallam:Maksudnya:

'Dua nikmat yang sering dilupai oleh manusia: kesihatan dan masa lapang'

Seorang penyair Arab pernah bermadah:Maksudnya:

'Dan waktu itu adalah perkara paling bernilai yang aku cuba untuk menjaganya, dan aku melihat ianya merupakan perkara yang paling mudah kau hilangkan'

Disiplin Para Sahabat Dan Salaf Dalam Penjagaan Waktu.

Oleh kerana waktu itu amat bernilai maka para sahabat dan salaf adalah orang yang paling tegas dan berdisiplin dalam penjagaan waktu kerana mereka adalah generasi yang paling mengetahui tentang nilainya dan mereka adalah sebaik-baik generasi. Antara kata-kata mereka:

'Di antara tanda-tanda kecelakaan ialah ialah mensia-siakan waktu',


' Waktu itu umpama pedang sekiranya kamu tidaki memotongnya maka ia akan memotong kamu'
Ibn Abi Hamzah dalam kitab Bahjatunnufus mengatakan: 'Maksud ibarat di atas ( waktu umpama pedang ) adalah supaya diisi waktu itu dengan kesibukan dan jangan dibiasakan dengan menunda-nunda. Dengan maksud lain, apabila kamu tidak bersiap untuk mengambil manfaat dalam setiap kesempatan, maka kamu akan binasa seperti orang yang dipancung pedang. Perumpamaan ini adalah supaya kita menjadi orang yang tegas seperti waktu kerana timbulnya penyesalan itu disebabkan tidak tegas'

Begitulah keadaan para sahabat dan salaf yang sentiasa cuba untuk meningkatkan diri mereka dari satu tahap ke tahap yang lebih baik sehingga menjadikan hari ini dalam hidup mereka adalah lebih baik dari kelmarin dan esoknya adalah lebih baik dari hari ini.Kata mereka:

'Sesiapa yang hari ini dalam hidupnya adalah seperti kelmarin maka dia adalah orang yang rugi, dan sesiapa yang hari ini adalah lebih buruk dari kelmarin maka dia adalah orang yang celaka'
Imam Hasan al-Basri pernah berkata:Maksudnya:

' Wahai anak Adam, sesungguhnya dirimu merupakan bahagian-bahagian dari hari-hari yang telah ditentukan, apabila berlalu hari maka berlalu jugalah bahagian hidupmu. Dan dikhuatiri nanti apabila telah berlalu sebahagiannya maka akan berlalu jugalah keseluruhannya sedangkan engkau sendiri tahu akan hal ini maka beramallah '


Generasi awal ini sangatlah mengambil berat terhadap penggunaan waktu supaya tidak berlalu sehari ataupun sedetik darinya melainkan dalam keadaan mengisi dan menambah ilmu yang bermanfaat, beramal soleh, bermujahadah melawan nafsu atau membantu dengan memberi manfaat kepada orang lain. Mereka adalah insan yang cemerlang dalam memanfaatkan usia mereka.Kata Ibn Mas‘ud:Maksudnya:

' Aku tidak pernah menyesali akan suatu hal, seperti penyesalanku ke atas hariku yang apabila terbenam mataharinya ( berlalu ), di mana umurku telah berkurang sedangkan amalanku tidak bertambah ( di dalamnya )'.

Wednesday, 15 October 2008

Bingkisan Buat Pendidik

Bismillahirrahmanirrahim. Segala puji bagi Allah, selawat dan salam buat junjungan Rasulullah sallallah alaihi wasallam, ahli keluarga baginda seterusnya para sahabat radiyallahu anhum ajmain.

Meneladai Dari Insan Yang Terpuji.

Salah satu sebab kita perlu menoleh melihat lembaran sirah Rasulullah sallallah alaihi wasallam ialah kerana baginda adalah seorang pendidik yang unggul. Beliau bukan sahaja seorang guru akan tetapi seorang pendidik yang berkeperibadian tinggi. Untuk mereka yang ingin meneladani baginda tuhan sajikan firmanNya ini sebagai tatapan:

“Sesungguhnya pada Rasulullah itu terdapat contoh yang terpuji, bagi sesiapa yang mengharapkan keredhaan Allah dan hari akhirat”

Sesugguhnya al-Quran telah menyatakan bahawa baginda merupakan pendidik kepada seluruh manusia. Walaupun baginda sendiri seorang yang ummi ( tidak mampu membaca ) dan tidak mempunyai pengajian yang formal tetapi baginda diajar secara langsung dari Allah Taala melalui perantaraan Jibril alaihi salam.

Rasul Adalah Seorang Guru Dan Pendidik

Pada suatu hari Rasulullah keluar dari bilik dan masuk ke dalam masjid, di dalamnya terdapat dua kelompok, satu kelompok membaca al-Quran dan berdoa sementara kelompok yang lain pula sedang dalam majlis pengajian, mengajar dan belajar. Lalu baginda bersabda: Kedua-dua kelompok adalah baik. Golongan pertama membaca al-Quran dan berdoa, sekiranya Allah menghendaki nescaya dikabulkan doa-doa mereka atau tidak mengabulkannya. Manakala golongan kedua pula mengajar dan belajar, dan sesugguhnya aku diutuskan sebagai guru yang mendidik, lantas baginda duduk bersama mereka.

Dari Didikan Baginda Lahirlah Peribadi-peribadi Yang Unggul.

Sejarah telah membuktikan bahawa baginda merupkan guru terulung yang tidak mampu ditandingi oleh sesiapapun. Keadaan manusia yang begitu rosak sebelum kedatangan baginda dan perubahan positif ke arah nilai-nilai murni yang begitu mendadak setelah baginda menyampaikan mesej dakwah dan menyerapkan method-method yang mampu menarik perhatian seluruh manusia. Dan inilah bukti yang cukup ampuh dan kukuh bahawa baginda merupakan pendidik dan guru yang terunggul. Jika perbandingan dibuat dengan pendidik-pendidik lain maka siapakah yang berjaya melahirkan ramai peribadi-peribadi unggul yang mengikutinya. Dengan itu ulama pernah berkata:

"Seandainya Rasulullah tidak mempunyai satu mukjizatpun melainkan para sahabat yang mengikuti tarbiyah pendidikan baginda maka sudah memadai untuk membuktikan kenabian baginda”

Keunggulan didikan baginda sehingga melahirkan sejumlah peribadi-peribadi yang unngul yang mencontohi baginda seakan-akan sebuah mukjizat yang perlu diakui oleh sejarah. Tidak ada satu insanpun di dunia ini yang diikuti, dicontohi dan disayangi seperti Rasulullah sallallah alaihi wasallam.

Berlaku Amanah Dalam Menyampaikan Ilmu.

Antara sifat Rasul sebagai guru ialah menyampaikan. Baginda tidak pernah menyembunyikan kebenaran dan hak. Lantaran itu baginda pernah berpidato pada suatu hari: Baginda memuji Allah Taala dan kemudian menyebut tentang suatu kaum dan memuji mereka seraya bersabda:

"Mengapakah sebahagian kaum tidak mengajar jiran-jiran mereka? Dan menyedarkan mereka? Tidak menyuruh berbuat baik dan tidak pula mencegah dari kemungkaran? Dan mengapa pula sebahagian kaum yang lain tidak belajar dari jirannya? Dan tidak juga mengambil peringatan dari mereka? Demi Allah Taala, sesuatu kaum mestilah mengajar jirannya,memberi peringatan kepada mereka, menyuruh kepada kebaikan dan mencegah kemungkaran, atau nescaya akan dipercepatkan azab di dunia lagi! "

Sebahagian tulisan ini kami petik dari karya Sheikh Abd Fattah Abu Ghuddah yang berjudul ar-Rasul al-Muallim ( Rasul Sebagai Seorang Guru ) diolah sempena hari guru 2007