Sunday, 19 October 2008

Berbuat Baik Dapat Menyejukkan Jiwa-Dr Aidh Abdullah al-Qarni

Kebaikan itu sebaik namanya, keramahan itu seramah wajahnya dan keikhlasan itu sesuci rupanya. Dan orang yang mula-mula akan dapat rasa semua manfaat dari semua itu ialah mereka yang melakukannya. Merekalah yang akan merasa hasilnya serta-merta dalam jiwa, akhlak dan nurani mereka, hingga mereka sentiasa berlapang dada, tenang, tenteram dan damai.Ketika anda diliputi kesedihan dan kebimbangan, berbuat baiklah terhadap sesama manusia, nescaya anda akan mendapat ketenteraman dan kedamaian hati.

Bersedekahlah kepada orang yang papa, tolonglah orang-orang yang dizalimi, ringankan beban orang yang menderita, berilah makan orang yang kelaparan, jenguklah orang yang sakit, dan bantulah orang yang ditimpa musibah, nescaya anda akan merasa bahagia dalam aspek kehidupan anda.Perbuatan yang baik itu bagai wewangian yang tidak hanya mendatangkan manfaat kepada pemakainya, tetapi orang-orang yang berada di sekelilingnya juga. Dan manfaat kejiwaan dari kebaikan itu terasa seperti ubat-ubat berkesan yang tersedia di kotak ubat orang-orang yang berhati baik dan bersih.

Menebar senyuman kepada orang-orang yang gersang jiwanya merupakan sedekah jariyah. Ini tersirat dalam bimbingan akhlak yang menyebut: "…sekalipun engkau hanya menemui saudaramu dengan wajah berseri " ( al-Hadis )Sedangkan kemuraman wajah merupakan tanda permusuhan sengit terhadap orang lain yang diketahui berlakunya oleh Yang Maha Ghaib.Seteguk air yang diberikan oleh seorang pelacur kepada seekor anjing yang kehausan dapat menghasilkan syurga yang luasnya seluas langit dan bumi. Ini merupakan bukti bahawa Pemberi Pahala adalah zat Yang Maha Pemaaf, Maha Baik dan sangat mencintai kebaikan, serta Maha Kaya lagi Maha Terpuji.

Wahai orang-orang yang merasa terancam dengan himpitan kesengsaraan, kecemasan dan kebimbangan hidup, kunjungilah taman-taman kebaikan; sibuklah dirimu dengan memberi, megunjungi, membantu, menolong, dan meringankan beban sesama manusia. Dengan semua itu nescaya kamu akan mendapat kebahagiaan dalam semua aspeknya; warna, rasa dan juga hakikatnya.

"Sedang ia tidak menanggung budi sesiapapun, yang patut dibalas, hanyalah mengharap keredhaan Tuhannya Yang Maha Tinggi. Dan demi sesugguhnya, ia tetap akan berpuas hati ( pada hari akhirat, dengan mendapat segala yang diharapkan)."( Surah al-Lail: 19-21)

Mempercayai Ramalan Horoskop II

Namun apa yang mendukacitakan, apabila bidang horoskop ini diberi ruangan khas dalam majalah hiburan maka pendedahan yang berterusan ini tidak mustahil akan mempengaruhi sebahagian pembaca bahawa mengetahui ramalan horoskop ini pada setiap bulanmerupakan perkara yang perlu dan boleh dipercayai.Horoskop merupakan ruangan yang menjadi kesukaan ramai yang meramal nasib hari depan mereka. Tiap-tiap bulan ruangan ini menjadi perhatian untuk melihat untung nasib mereka. Mereka berminat mengetahui lebih lanjut nasib malang dan masalah merekamengikut horoskop.

Lebih memburukkan keadaan terdapat kenyataan yang seeolah-olah menanamkan ke dalam minda pembaca supaya mempercayai ramalan zodiak masing-masing oleh majalah hiburan sendiri seperti artikel' Nak kurus?Tahu Zodiak kamu; tok nujum kami dah berjaya mengesan rancanganmu itu. Tak percaya?Jom semak-semak, Sikap dan pemilihan hadiah terbaik berdasarkan zodiak dan bermacam-macam lagi.Unsur begini juga didapati merangkumi artis luar negeri cuma ia agak jarang seperti artikel Ramalan tukang tilik nasib bintang Bollywood.Mugkin agak baik sikit dalam sesetengah majalah turut disertakankenyataan: " Anda tidak digalakkan mempercayai catatan horoskop ini. Ia cuma sekadar hiburan semata-mata". Namun langkah terbaik ialah mengeluarkan terus bidang horoskop ini dari ruangan majalah-majalah. Ini kerana pendedahn yang berterusan kepada horoskop disamping ketepatan atau keserasian yang berlaku secara kebetulan, boleh mempengaruhi pembaca secara beransur-ansur.Sedangkan elemen horoskop jelas bercanggah dengan nas al-Quran bahawa manusia diberi peluang untuk mengubah diri sendiri bukannya duduk berserah pada nasib tanpa usaha.

Horoskop seolah-olah membentuk diri manusia menjadi jumud dan pasif kepada kehidupan atas alasan ditakdirkan begitu kerana lahir pada tarikh tertentu. Dalam surah ar-Raad ayat 11 Allah berfirman:

"Sesugguhnya Allah tidak merubah keadaan sesuatu kaum sehinggalah mereka merubah keadaan diri mereka sendiri"

Berdasarkan nas al-Quran ini maka jelas kepada kita bahawa manusia itu diberi peluang seluas-luasnya oleh Allah SWT untuk memperbaiki diri dan mempertingkatkan kehidupnnya di dunia ke arah yang lebih baik dan sempurna. Tarikh mereka dilahirkan tidak adakena mengena dengan peluang dan kesempatan yang Allah sediakan ini.

Mereka yang mempercayai tarikh lahir mempengaruhi dimensi kehidupan mereka adalah mereka yang malas berusaha,kuat berdalih, tiada keyakinan diri dan tiada wawasan. Akibatnya mereka akan putus harapan sama ada untuk memperbaiki diri atau meningkatkan kualiti kehidupan.

Mempercayai Ramalan Horoskop I

Hajat saya untuk memuatkan catatan mengenai perkara ini untuk remaja telah lama saya kira,iaitu semenjak saya mengajar di sekolah partama AP. Namun kesibukan membuatkan saya seringkali terlupa untuk menyentuh mengenainya. Artikel yang ditulis oleh saudara Mohd Zamir (JAKIM ) dalam ‘Sinar Rohani’ bil 36 sudah dikira baik untuk ditelaah dan diamati dan dicermati. Dalam ruangan kecil ini saya suka menyunting beberapa catatan beliau. Mudah-mudahan Allahlah yang memberi hidayah dan petunjuk buat hamba-hambanNya.Bintang merupakan satu planet ciptaan Allah yang menghiasi alam maya. Antara fugsi bintang ialah memperindah pemandangan angkasa raya dan menjadi petunjuk arah bagi pelaut dan nelayan. ( Rujuk al-Anam:97 ). Oleh itu adalah satu pemikiran yang salah apabila ada orang yang beranggapan bahawa bintang-bintang tersebut mempunyai kuasa ghaib yang mampu mempengaruhi nasib dan perjalanan hidup manusia. Atas dasar pemikiran yang salah ini maka manusia mereka-reka bahawa bintang-bintang itu memiliki rumus dan karektor tertentu sehingga seseorang yang lahir pada jangkamasa tertentu akan mempunyai nasib yang sama seperti karektor bintang tersebut.

Bintang-bintang yang menjadi ramlan perbincangan ahli perbintangan dibahagikan kepad 12 jenis iaitu Capicorn bagi yang lahir antara (22 Dis-19 Jan ), Aquarius ( 20 Jan-18 Feb ), Pisces(19 Feb-20 Mac ), Aries ( 21 Mac-19 April ), Taurus ( 20 April-20 Mei ), Gemini ( 21 Mei-21 Jun ), Cancer ( 22 Jun-22 Julai ), Leo ( 23 Jul-22 Ogos ), Virgo ( 23 Ogos-22 Sept ), Libra ( 23 Sept-22 Okt ), Scorpio ( 24 Okt-21 Nov ) dan Sagittarius ( 22 Nov-21 Dis ). Hakikatnya jika kita menggunakna akal fikiran pemberian Allah SWT yang berharga ini, tidaklah terlalu sukar bahwa kita akan dapat menilai ramalan-ramalan sebegini hanyalah merupakan tekaan sahaja.Namun begitu bukanlah sesuatu yang mustahil kadangkala suatu ramalan itu benar-benar menepati diri sekumpulan manusia dari kalangan ratusan ribu malahan puluhan juta manusia. Ramalan begitu umpama orang buta yang melontarkan sebiji batu ke tengah kawasan yang padat dengan manusia. Maka jika ada dua atau tiga orang terkena lontaran batu itu, bukanlah sekali-kali kerana kepndaian pelontar tersebut tetapi semata-mata kerana kerana ramai dan padatnya manusia.

Ramalan perbintangan ini tegas dilarang oleh Rasulullah SAW sebagaiman hadis yang diriwayatkan oleh Abu Daud yang bermaksud:

"Sesiapa yang mengambil sebahagian daripada ( ilmu ramalan ) bintang-bintang maka seseugguhnya ia telah mengambil sebhgian dari sihir"

Hadis ini menerangkan kedudukan hukum ramalan perbintangan adalah disamakan oleh Rasulullah SAW dengan hukum kedudukan sihir. Justeru kita dilarang mempelajari hal perbintangan yang bersifat tekaan untuk meramal nasib manusia seperti berkenaan bahagia dan sengsara, damai atau celak dan sebagainya. Perbuatan ini menyerupai amalan kepercayaan Jahiliyyah dan termasuk ketegori mendustakan takdir.

Nasyid: Medium Dakwah Atau Alternatif Hiburan

Zaman kanak-kanak sekolah dulu selalu juga masuk nasyid. Alam remaja di bangku sekolah menengah juga sesekali tidak ketinggalan, meskipun majornya aktiviti di sekolah menengah banyak dihabiskan dengan aktiviti persatuan, Badan Dakwah & Kebajikan. Turun bernasyid hanya sebagai 'harmoni' pelengkap kumpulan 'Khairan'. Kumpulan yang pernah berhasrat membuat album tetapi tidak kesampaiaan. Kemudiannya 'Khairan' terlebur dengan penghijrahan anggota-anggotanya menyambung pengajian. Cuma baru-baru ini saya bertemu ketuanya yang telahpun menubuhkan kumpulan baru, kumpulan Zulfan. Kumpulan nasyid yang sebaya ketika itu ialah 'Sabda' SMKAK. Sabda melangkah jauh sedikit dengan album mereka. Dan Amarpun lahir secara sendirian selepas itu.Pada saya nasyid boleh dijadikan sebagai alternatif hiburan. Turun bernasyid sesekali macam juga turun padang bermain bolasepak. Tapi rasanya bermain bola lebih membakar auranya.

Namun apabila usia semakin meningkat dewasa, kita telahpun mengurangkan penumpuan terhadap perkara-perkara tersebut untuk diberi kepada perkara-perkara lain yang lebih menuntut kepada kesungguhan. Bersama anak-anak sekolah adakalanya mengenangkan zaman silam. Zaman yang tidak akan kembali lagi. Ada anak-anak bertanya mengapa ustaz tak berdakwah dengan nasyid?Ada orang berkata nasyid boleh dijadikan medium dakwah. Cuma saya sesekali tertanya-tanya, sejauh mana nasyid mampu berdakwah, mengislamkan insan, menyedarkan ummah yang alpa dan leka, menaikkan semangat cintakan agama.


Persoalan ini bukanlah untuk menafikan sumbangan yang dilakukan oleh mereka yang berada dalam bidang ini. Persoalan ini mungkin sekadar muhasabah diri buat semua.Dengan lambakan nasyid yang sedang bercambah di bumi Malaysia ini, saya percaya nasyid mampu dijadikan alternatif hiburan. Untuk menjadi medium yang berkesan dalam dakwah ada lembaran-lembaran baru yang boleh dikaji. Adakalanya mendengar nasyid-nasyid yang dulu-dulu lebih membangkitkan kesedaran dari nasyid-nasyid sekarang. Selamat berjuang untuk semua...

Wednesday, 15 October 2008

Remaja & Pemikiran Reaktif

Sumber:Bicara Agama, Utusan Online --27 Julai 2006 --- 2 Rejab 1427
Reaktif
Reaktif bermaksud tindak balas terhadap sesuatu yang berlaku. Sesuatu yang berlaku menyebabkan manusia terusik dan melakukan tindakbalas. Tindak balas yang berlaku selalunya bersifat spontan tanpa pemikiran dan kajian yang mendalam. Sikap reaktif selalunya berkait rapat dengan keadaan emosi seseorang. Sekiranya emosi seseorang tidak stabil, tindak balas akan menjadikan keadaan atau sesuatu itu tidak stabil. Kalau emosinya resah dan kacau jalan berfikirnya penuh dengan kekacauan. Faktanya mungkin tidak lengkap. Analisisnya tidak tepat. Kesimpulan yang diambil juga tidak membayangkan adanya pemikiran yang mendalam terhadap sesuatu isu atau perkara.

Berfikir Reaktif Boleh Membawa Kepada Kegopohan

Berfikir dalam suasana gopoh boleh menyebabkan kesilapan berlaku. Orang yang berfikir reaktif cepat membuat kesimpulan. Kadang-kadang mengambil pendekatan menghukum lebih daripada pendekatan memahami mengapa ia berlaku, bagaimana mengatasinya dan faktor-faktor apa yang boleh memberikan alternatif terhadap isu atau masalah yang berbangkit. Berfikir reaktif menjadikan sesuatu keputusan yang dibuat dalam keadaan tidak masak atau separuh masak. Ia kadang-kadang membudaya pada diri seseorang. Bila menghadapi sesuatu masalah, mendepani sesuatu isu, mengalami sesuatu kebuntuan, ia tidak berfikir secara kritikal, strategik ataupun kreatif sebaliknya melakukan sesuatu berasaskan apa yang terlintas pada minda dan emosi dan kadang-kadang ledakan minda dan emosi menyebabkan keadaan menjadi lebih bercelaru.

Dalam tradisi Islam kestabilan minda dan celik emosi adalah asas yang sangat penting bagi seseorang manusia. Cerdas akal saja tidak cukup. Ia memerlukan kecelikan emosi (emotionally literate) untuk mengenal, memahami, membuat pertimbangan yang terbaik supaya penyelesaian kepada masalah dan jawapan terhadap isu berada di tahap yang terbaik. Ajaran Islam memberitahu kita sekiranya kita mendapat perkhabaran daripada orang yang fasik, sila periksa terlebih dahulu sama ada perkhabaran itu benar atau salah. Rasulullah s.a.w. apabila menerima perintah Allah untuk berpindah dari Mekah ke Madinah, baginda tidak bersifat emosional atau reaktif. Sebaliknya Rasulullah merancang strategi bijaksana hingga akhirnya baginda selamat sampai ke Madinah.

Idealisme di tahap tinggi.

Para remaja pada tahap umur muda berada dalam tahap kesuburan emosi yang tinggi dan idealisme yang hebat. Kesuburan emosi yang tidak diimbangi dengan ilmu dan pengalaman boleh menyebabkan remaja bersikap reaktif dan kadang-kadang melampaui batas. Idealisme yang hebat kadang-kadang menjadikan remaja mendekati sesuatu isu secara hitam putih. Lalu jalan mudah adalah menghukum dan melakukan labelling atau mengecap seseorang dengan sesuatu yang jelik. Kepuasan emosi yang sifatnya amarah menjadi kepuasan baginya tetapi jelik bagi orang lain. Tidak salah remaja membina idealisme dalam hidupnya. Hasil berfikir, membaca dan memerhati, remaja tidak dapat mengelakkan diri daripada bersikap ideal. Jiwa berontak yang ada pada remaja kadang-kadang menuntut jalan keluar dan alternatif yang gopoh. Tetapi idealisme yang ada pada remaja harus diimbangi dengan keupayaan memahami realiti. Realiti adalah medan sebenar remaja membaca masalah, mengkaji isu, meneliti sebab-musabab dan memikirkan jalan keluar yang terbaik dan bijaksana. Remaja tidak hanya bersikap reaktif lalu keputusan yang dibuat selalunya bersikap melulu dan membawa akibat yang sebaliknya. Menjadikan idealisme sebagai sumber memahami faktor-faktor dalam realiti sebagai asas memahami masalah, ia membolehkan remaja bersikap matang dan dewasa. Kematangan dan kedewasaan di sini merujuk kepada kekuatan ilmu, analisis yang tepat dan keputusan yang berwibawa. Menjadikan realiti sebagai asas tanpa didukung oleh idealisme, ia boleh menyebabkan keputusan kehilangan arah.

Ibarat bunga kiambang

Idealisme dan realiti ibarat bunga kiambang yang cantik di permukaan tetapi akarnya tidak terjunam pada lumpur. Bila ditolak arus ia mungkin hanyut. Pemikiran remaja yang reaktif juga boleh berlaku sedemikian. Idealisme yang tinggi tanpa pedoman memahami realiti boleh mendorong para remaja berfikir emosional dan gopoh. Para remaja harus menjadi seorang yang idealis sekali gus realis, baru pedoman terbaik dalam pemikiran memandu remaja ke arah memahami realiti. Hal yang sama juga perlu dalam konteks seorang remaja yang realis atau terpikat dengan aliran realiti yang harus juga memiliki idealisme yang baik supaya ia memiliki pedoman dan arah.


Para remaja adalah tenaga yang berpotensi untuk membangun negara. Salah satu cabaran yang bakal dihadapi oleh remaja adalah menghubungkan nilai-nilai baik dengan realiti yang serba bejat atau pincang.Remaja tidak boleh mengelak diri daripada menghadapi faktor hidup dan kehidupan yang dinamik berubah. Remaja juga adalah tenaga modal insan yang amat berpotensi bagi menentukan hala tuju pembangunan umat yang lebih terarah. Reflektif terhadap kehebatan tamadun silam semata-mata tidak memadai untuk membuat kesimpulan mengapa umat Islam hari ini tidak menjadi hebat seperti yang berlaku pada masa yang lalu. Kalau dulu boleh mengapa hari ini tidak boleh. Lalu, para remaja cuba menggunakan berfikir reaktif iaitu menghukum realiti hari ini dengan mengambil contoh masa silam. Contoh masa silam memenuhi prasyarat yang diperlukan untuk membina tamadun. Ketika puncak tamadun silam, ulama dan umara’ (pemimpin) melakukan sinergi atau kerjasama erat, ilmuan meneroka dan membangunkan ilmu yang sifatnya integratif, tradisi pengkaryaan berkembang dalam keadaan yang luar biasa dan keterbukaan untuk belajar daripada sumber-sumber tamadun yang bermanfaat daripada orang lain. Tetapi realiti hari ini dalam dunia Islam tidak begitu. Berfikir reaktif terhadap apa yang ada dengan menghubungkan kekuatan silam yang memenuhi prasyarat tamadun menyebabkan kita mengambil pendekatan hitam putih dan ia tidak membawa kita ke mana- mana.

Ummat Pengguna atau Ummat Penyumbang?

Para remaja harus mempersiapkan diri dengan ilmu. Ilmu Barat dan Timur yang berkembang harus dipelajari. Ada faedah berbanding yang boleh diambil daripada sumber-sumber tersebut. Islam tidak mengambil sikap anti-Barat semata-mata kerana mereka adalah Barat. Umat Islam harus hati-hati tentang proses pembaratan yang sedang berjalan. Berfikir reaktif menyebabkan apa saja yang berlaku di Barat menjadi contoh kepada kita. Ia meletakkan diri kita sebagai umat pengguna bukan umat penyumbang. Berfikir reaktif di kalangan remaja menjadikan ukuran Barat sesuatu yang hebat. Pakaian cara Barat melambangkan kemajuan dan kemodenan. Hiburan cara Barat boleh menghilangkan resah dan tekanan diri. Malah terdapat remaja yang menganggap Islam sebagai kolot, menyekat kemajuan dan tidak maju seperti Barat maju. Untuk menjadi maju, remaja mesti berfikiran liberal, harus memerdekakan diri dari belenggu agama supaya hidup lepas bebas menjadikan remaja maju. Ini sikap reaktif melulu yang menyebabkan remaja Islam terus terjebak dengan perangkap pembaratan dalam pelbagai bentuk dan dimensi. Tidak celik hati Memberi reaksi terhadap sesuatu perkara adalah baik. Ramai di kalangan remaja pada hari sudah mewarisi penyakit mati rasa dan tidak celik hati. Akalnya mungkin cerdas tetapi hatinya tidak celik. Ia menyebabkan sebahagian dari remaja membina gaya hidup dengan mengikut arus, dibelenggu oleh perkembangan fesyen, memperagakan bakat dan kebolehan secara negatif dan akhirnya tidak menyumbang apa-apa untuk pembangunan diri dan juga masyarakat. Sebahagiannya menjadi beban kepada negara.


Reaktif terhadap sesuatu mestilah diikuti dengan pemahaman yang baik terhadap punca, sebab dan jalan mengatasinya. Pendekatan sebegini boleh menjadikan remaja tidak gopoh dalam membuat sesuatu keputusan atau kesimpulan. Mereka juga sentiasa dipandu oleh data dan fakta, pemahaman yang baik antara idealisme dan realiti, memiliki pemikiran strategik dan reflektif mendekati sesuatu masalah dan akhirnya mempunyai perancangan yang rapi dan teliti bagaimana sesuatu isu dapat ditangani dengan bijaksana dan sesuatu masalah dapat diselesaikan dengan baik. Inilah asas pemikiran proaktif yang patut dikembangkan di kalangan remaja.

PROF. DR. SIDEK BABA ialah pensyarah di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Gombak

Bingkisan Buat Pendidik

Bismillahirrahmanirrahim. Segala puji bagi Allah, selawat dan salam buat junjungan Rasulullah sallallah alaihi wasallam, ahli keluarga baginda seterusnya para sahabat radiyallahu anhum ajmain.

Meneladai Dari Insan Yang Terpuji.

Salah satu sebab kita perlu menoleh melihat lembaran sirah Rasulullah sallallah alaihi wasallam ialah kerana baginda adalah seorang pendidik yang unggul. Beliau bukan sahaja seorang guru akan tetapi seorang pendidik yang berkeperibadian tinggi. Untuk mereka yang ingin meneladani baginda tuhan sajikan firmanNya ini sebagai tatapan:

“Sesungguhnya pada Rasulullah itu terdapat contoh yang terpuji, bagi sesiapa yang mengharapkan keredhaan Allah dan hari akhirat”

Sesugguhnya al-Quran telah menyatakan bahawa baginda merupakan pendidik kepada seluruh manusia. Walaupun baginda sendiri seorang yang ummi ( tidak mampu membaca ) dan tidak mempunyai pengajian yang formal tetapi baginda diajar secara langsung dari Allah Taala melalui perantaraan Jibril alaihi salam.

Rasul Adalah Seorang Guru Dan Pendidik

Pada suatu hari Rasulullah keluar dari bilik dan masuk ke dalam masjid, di dalamnya terdapat dua kelompok, satu kelompok membaca al-Quran dan berdoa sementara kelompok yang lain pula sedang dalam majlis pengajian, mengajar dan belajar. Lalu baginda bersabda: Kedua-dua kelompok adalah baik. Golongan pertama membaca al-Quran dan berdoa, sekiranya Allah menghendaki nescaya dikabulkan doa-doa mereka atau tidak mengabulkannya. Manakala golongan kedua pula mengajar dan belajar, dan sesugguhnya aku diutuskan sebagai guru yang mendidik, lantas baginda duduk bersama mereka.

Dari Didikan Baginda Lahirlah Peribadi-peribadi Yang Unggul.

Sejarah telah membuktikan bahawa baginda merupkan guru terulung yang tidak mampu ditandingi oleh sesiapapun. Keadaan manusia yang begitu rosak sebelum kedatangan baginda dan perubahan positif ke arah nilai-nilai murni yang begitu mendadak setelah baginda menyampaikan mesej dakwah dan menyerapkan method-method yang mampu menarik perhatian seluruh manusia. Dan inilah bukti yang cukup ampuh dan kukuh bahawa baginda merupakan pendidik dan guru yang terunggul. Jika perbandingan dibuat dengan pendidik-pendidik lain maka siapakah yang berjaya melahirkan ramai peribadi-peribadi unggul yang mengikutinya. Dengan itu ulama pernah berkata:

"Seandainya Rasulullah tidak mempunyai satu mukjizatpun melainkan para sahabat yang mengikuti tarbiyah pendidikan baginda maka sudah memadai untuk membuktikan kenabian baginda”

Keunggulan didikan baginda sehingga melahirkan sejumlah peribadi-peribadi yang unngul yang mencontohi baginda seakan-akan sebuah mukjizat yang perlu diakui oleh sejarah. Tidak ada satu insanpun di dunia ini yang diikuti, dicontohi dan disayangi seperti Rasulullah sallallah alaihi wasallam.

Berlaku Amanah Dalam Menyampaikan Ilmu.

Antara sifat Rasul sebagai guru ialah menyampaikan. Baginda tidak pernah menyembunyikan kebenaran dan hak. Lantaran itu baginda pernah berpidato pada suatu hari: Baginda memuji Allah Taala dan kemudian menyebut tentang suatu kaum dan memuji mereka seraya bersabda:

"Mengapakah sebahagian kaum tidak mengajar jiran-jiran mereka? Dan menyedarkan mereka? Tidak menyuruh berbuat baik dan tidak pula mencegah dari kemungkaran? Dan mengapa pula sebahagian kaum yang lain tidak belajar dari jirannya? Dan tidak juga mengambil peringatan dari mereka? Demi Allah Taala, sesuatu kaum mestilah mengajar jirannya,memberi peringatan kepada mereka, menyuruh kepada kebaikan dan mencegah kemungkaran, atau nescaya akan dipercepatkan azab di dunia lagi! "

Sebahagian tulisan ini kami petik dari karya Sheikh Abd Fattah Abu Ghuddah yang berjudul ar-Rasul al-Muallim ( Rasul Sebagai Seorang Guru ) diolah sempena hari guru 2007