Sunday 19 October 2008

Renungan Buat Du'at Muda Yang Penuh Semarak Perjuangan

Buat du’at muda yang penuh semarak perjuangan, anak-anak didik yang sedang menempuh jalan dakwah dan perjuangan yang panjang. Bingkisan ini tidaklah disampaikan melainkan dengan perasaan kasih-sayang, ukhuwwah dan doa semoga kita semua sentiasa berada dalam rahmat dan redha Allah azza wajalla.

Kematangan Bukan Pada Umur, Tetapi Pada Cara Berfikir Dan Bertindak.

Dalam menjalankan kewajipan dakwah, seorang dai’ akan bertemu dengan pelbagai ragam manusia. Kepelbagaiaan ragam tersebut menuntut dai’ supaya sentiasa bersabar dan bersabar. Sikap al-‘ajalah’, terburu-buru bukanlah sikap seorang da’i. Kematangan seorang da’i pada bukanlah diukur pada tahap umur, tetapi pada cara berfikir dan bertindak.

Mengawal Semarak Dengan Disiplin Ilmu

Kebiasaannya usia muda merupakan usia yang berkobar-kobar. Semangat perjuangan itu merupakan sesuatu perkara yang positif dalam jiwa seorang dai. Namun tanpa panduan dan disiplin ilmu semarak tersebut mungkin tersasar mengikut amarah nafsu. Dengan keadaan yang sedemikian pihak yang bertentangan atau lawan mampu menggunakannya untuk tujuan provokasi. Teori ini bukan teori baru, ia telah kerap kali digunakan oleh gerakan kerahsiaan barat dengan membangkitkan kemarahan umat Islam untuk melihat mereka melatah dan akhirnya bertindak secara agresif dan melulu. Natijah dari tindakan agresif tersebut menjadi alasan untuk mereka mengapa gerakan Islam perlu dilenyapkan.

Kata Khalifah Umar Abd Aziz: ‘Sesiapa yang beramal tanpa ilmu, maka sesugguhnya apa yang merosakkannya itu adalah lebih banyak dari apa yang membawa kebaikan’ . Atas prioriti ( aulawiyyat ) ilmu mendahului amal, al-Imam al-Bukhari menyusun satu bab dalam kitabnya, ‘Bab al-Ilm Qabl al-Qaul wal al-Amal’, bab ilmu sebelum perkataan dan perbuatan. Menyedari hakikat ini al-Imam Hasan al-Banna meletakkan rukun al-Fahm sebagai rukun pertama mendahului rukun amal. Buat du’at perkara ini amatlah wajar diteliti.

Menilai Antara Perkara Prinsip Dan Isu

Dalam konteks yang lebih kecil, saya ingin fokuskan kepada anak-anak didik saya yang sedang bergerak dalam persatuan-persataun atas nama perjuangan Islam, samada di kampus universiti mahupun sekolah. Kegagalan menilai antara perkara prinsip dan isu merupakan sebahagian dari lompang-lompang kecacatan dalam menilai kematangan sebuah gerakan pelajar. Prof. Abdullah Hasan sering mengulang-ulang tentang parkara prinsip dan isu ini dalam beberapa bukunya, ini kerana kebanyakkan perkara isu masih memiliki ruang perbincangan dan perundingan, berbanding perkara prinsip yang mesti dipertahankan. Maka ada perkara prinsip yang mesti dipertahankan, dan ada perkara isu yang menuntut kita lebih matang mencari jalan perundingan.
Dari kesimpulan Prof Abdullah Hasan tadi dapat saya ceraikan satu permasalahan baru iaitu apakah perkara-perkara prinsip yang mesti menjadi teras perjuangan seorang da’i, dan apakah perkara-perkara isu yang perlu seorang da’ itu bersikap toleransi. Mengambil jalan penentangan untuk perkara isu sedangkan boleh ditemui jalan perundingan adalah tindakan kurang bijak yang mencerminkan kecetekan ilmu dan kebijaksanaan.Untuk perkara ini para du’at perlu menyemak kembali manhaj dakwah para nabi dan rasul. Menelaah sirah amatlah mustahak kepada seorang da’i supaya perjuangan berjalan di atas landasan yang betul seiring dengan manhaj para rasul dan nabi. Tanpa panduan manhaj yang betul di bawah petunjuk wahyu al-Quran dan as-Sunnah manusia akan menghukum mengikut logik akal semata-mata. Antara persoalan yang perlu dilontarkan kepada diri, apakah sandaran atau dalil menyebabkan kita bermati-matian memepertahankan sesuatu perkara, dan apakah kesan jangka pendek dan jangka panjang dengan tindakan kita kepada Islam dan umatnya.

Dakwah Antara Penerimaan dan Penentangan

Mesej dakwah yang suci perlu dibawa oleh jiwa-jiwa yang suci. Hati-hati yang ikhlas dan tidak mempunyai sebarang kepentingan. Kesediaan ini menuntut kesabaran yang utuh dalam jiwa seorang da’i. Dakwah samada diterima atau ditentang, pembawanya tetap sabar dalam menempuh ujian. Penerimaan atau penentangan bukanlah bukti benarnya sesuatu seruan dakwah. Kebenaran dakwah adalah kerana manhajnya di bawah lembayung al-Quran dan as-Sunnah, kebenarannya ialah kerana manhajnya seiring dengan manhaj para nabi. Maka dengan itu, dai tidak boleh tertipu dengan ramainya penerimaan orang terhadapnya, dan da’i juga tidak boleh tertipu dengan penentangan orang terhadapnya, kerana keduanya bukanlah ukuran kebenaran. Perkara ini perlu diingatkan kerana manusia sering tertipu dengan menganggap perjuangannya benar disebabkan penerimaan ramai. Dan tidak kurang juga yang tertipu mengganggap bahawa perjuangannya benar disebabkan sentiasa menerima tentangan. Atas sebab pertama manusia boleh menjadi lupa diri dan menganggap dirinya benar. Dan atas sebab yang kedua ramai yang berjuang dengan bersifat lebih menentang dan bukannya berdakwah.

Sistem Pembentukan Generasi al-Quran.

Untuk pembentukan generasi al-Quran. Para Da’i perlu kembali kepada manhaj al-Quran dan as-Sunnah. Merenung kerap sirah. Dukacita apabila saya mendengar ada yang menyatakan bahawa itu zaman nabi, tidak boleh disamakan dengan zaman kita, zaman kita kena lebih agresif. Untuk itu kita serahkanlah pada manhaj masing-masing. Barangsiapa yang ingin bersama para rasul nabi maka jalan mereka perlu disusuri. Manhaj ini buat pemuda yang dahaga lahirnya kegemilangan baru, buat pewaris generasi pejuang yang pernah mengukir sejarah agung, serta buat mereka yang ingin membawa risalah ini dengan penuh kejujuran, kesabaran dan melihat ummah dengan perasaan rahmah dan kasih-sayang.

Pandangan Sinis Mengatakan Mengaharap Keajaiban Dengan Kesederhanaan dan Kesabaran.

Sebahagian teman yang berkobar-kobar memandang sinis method kesederhanaan dengan berkata: Bagai mengaharap keajaiban perubahan akan berlaku dengan kesederhanaan’. Dan kami memandang, kesederhanaan dan kesabaran itulah keajaiban dalam perjuangan para nabi. Dari didikan baginda lahirlah peribadi-peribadi yang disayangi teman dan disegani lawan. Mempertahankan mesti pada perkara-perkara prinsip, bukan agresif secara teburu-buru. Dalam kerendahan diri ada sifat tawaddhu’ dan izzah. Untuk kesabaran dan ketabahan ini, tersembunyinya keajaiban, apakah yang menyebabkan mereka mampu bertahan dan adil dalam membuat penilaiaan. Ianya kembali kepada satu kekuatan iaitu IMAN. Rasanya wajar untuk kami sajikan kembali ucapan Imam as-Syahid Hasan al-Banna sebagai renungan:

‘Wahai Ikhwan al-Muslimin, terutama kepada mereka yang bersemangat dan gopoh, degarlah kata-kata saya yang bergema dari atas pentas dalam perhimpunan agung ini. Segala langkah dan sempadan dalam jalan kamu ini telahpun digariskan. Saya tidak akan melanggar sempadan ini yang saya sendiri yakini sepenuhnya bahawa ia adalah jalan yang paling selamat untuk sampai ke matlamat. Benar, jalan ini mungkin jauh namun tiada jalan lain selain jalan ini. Kejantanan akan terserlah melalui keupayaan untuk bersabar, tabah, gigih dan usaha yang berterusan. Sesiapa di kalangan kamu yang terlalu cepat mahu mengutip hasil sebelum tempoh matang atau memetik bunga sebelum masanya, maka saya tidak akan bersetuju sama sekali. Lebih baik dia berundur dari dakwah ini kepada gerakan lain. Sesiapa yang mampu bersabar dengan saya hingga benih ini berkembang, tumbuh sebagai pokok, mengeluarkan buah yang baik dan tiba masa untuk memetiknya maka kesabarannya akan diberi ganjaran oleh Allah. Kita akan memperolehi salah satu daripada ganjaran berikut iaitu kemenangan dan ketuanan atau mati syahid dan kebahagiaan yang abadi’

Pelajaran Untuk Setiap Generasi.

Ketika saya pernah melontarkan muhasabah ini kepada seorang bekas anak didik saya, katanya zaman tidak sama, zaman yang sedang kami lalui tidak sama seperti yang ustaz telah lalui. Sememangnya zaman tidak sama, namun tuhan mencipta tabiat manusia mempunyai kecenderungan dan fitrah yang hampir serupa. Dengan itu al-Quran selalu menyeru, ‘Fa’tabiru Ya Ulil Absor’, dan ambillah iktibar wahai orang yang berfikir, dalam memberi makna ‘Fa’tabiru’ sebahagian ulama usul menafsirkannnya sebagai ‘Faqisu’ yang bermaksud maka kiaskanlah, kiaskanlah peristiwa yang lalu itu terhadap diri kamu, mudah-mudahan kamu beroleh peringatan dan pelajaran. Sesiapa yang sering meneliti sejarah akan mendapati benarnya kalamullah tadi. Anak adam adalah insan yang tetap sama tabiatnya di setiap zaman. Mukmin yang sedar sentiasa melihat perkara lalu sebagai pelajaran bernilai untuk kehidupan hari ini. Sifat ‘ekstrem’ dan melampau bukanlah dari ciri-ciri sifat seorang dai’.

Awas Penyakit Futhur.

Futhur ialah berhenti selepas penat berkerja, al-Quran pernah menggunakan kalimah futhur ini dalam menyifatkan tabiat malaikat, ‘yusabbihun al-lail wa an-nahar wa hum la yafthurun’, mereka bertasbih malam dan siang dan mereka tidak pernah futhur ( behenti /penat ). Manakala futhur dalam jalan dakwah bererti berhenti selepas kuat bersemangat pada awalnya. Ketika membincangkan tajuk ‘futhur’ ini seorang sahabat saya menceritakan kisah pengalamannya bersama seorang sahabatnya di kampus dahulu. Seorang yang bersemangat pada awalnya, sentiasa berani, ingin bersuara dan menentang, menolak sebarang bantuan pinjaman dari pihak berwajib. Ia cuma bertahan sekadar beberapa semester. Setelah gagal peperiksaan dia terpaksa mengulang semula, memohon kembali pinjaman yang ditentangnya, akhirnya berhenti senyap dari memberi apa-apa sumbangan yang dianggapnya dulu perjuangan.

Bagi sebahagian yang memandang serong terhadap nasihat kami, kami ingin nyatakan bahawa nasihat ini datang dari hati-hati yang menyayangi kalian, dan hati-hati ini sentiasa berdoa untuk kalian. Bersabarlah dalam menimba pengalaman di sepanjang jalan dakwah yang panjang. Kebijaksanaan merupakan mutiara yang tersembunyi. Sesiapa yang menemuinya maka dia merupakan insan yang dikurniakan dengan nikmat yang besar. Maka benarlah firmanullah yang bermaksud:

‘Dan sesiapa yang dikurniakan dengan ‘al-hikmah’, maka dia dikurniakan dengan kebaikan yang banyak’

No comments: