Thursday 23 October 2008

Ghost Whisperer Melayu

Saya tidak pasti samada di bandar-bandar besar kepercayaan ini masih wujud. Namun di salah satu negeri sebelah utara di sini kepercayaan ini masih kuat. Semalam saya menerima panggilan telefon dari seorang sahabat lama dari Kedah memberitahu saya bahawa ayahnya telah meninggal dunia kelmarin.

Berita telah maklum, takdir telahpun mengikut ketetapanNya, cuma ada isu yang ingin dia perpanjangkan kepada saya. Bertanya ingin memohon kepastiaan atau memohon sokongan, sebagai seorang sahabat saya sentiasa bersedia mendengarnya.

Sebagai seorang anak, dia berasa bertanggungjawab untuk membawa pulang ibunya pulang tinggal bersamanya di tempat dia berkerja di Perak. Tambahan lagi ibunya tinggal bersendirian. Namun ada adik-beradik ada yang menghalangnya, kata mereka ‘Biarlah selepas 40 hari, masih baru, kesian nanti roh balik, tak dak orang dekat rumah’. Dukacitanya kata-kata ini disokong oleh sebahagian mereka yang belajar dalam aliran agama. Sebagai seorang yang belajar agama , kenyataan yang tidak disokong oleh nas agama akan menyebabkan dia menjadi pendusta terhadap agama. Menurut sahabat saya sudahlah sedemikian, perlu pula dibayar upah orang membaca al-Quran di atas kubur dengan bayaran RM 2,000, itu belum dicampur upah sembahyang mayat bagi setiap kepala. Dalam keadaan sedemikian menyatakan pendirian adalah perlu. Dan inilah yang dilakukan sahabat saya. Namun masyarakat sukar menerima, bagi mereka amalan ini telah disokong oleh tok-tok guru dan orang-orang agama dulu, kalau salah kenapa mereka tidak membantah. Malah sebahagian menyokongnya, dan ada yang menyediakan pakej untuk upah baca Quran di kubur.

Ini bukanlah kali pertama saya menerima panggilan telefon dari sahabat-sahabat lama memohon pandangan tentang perkara ini. Kepada sahabat-sahabat, bersabarlah, perubahan sememangnya memerlukan masa dan pengorbanan, apa yang kita sampaikan hari ini boleh jadi akan difahami oleh generasi kemudian. Kata salah seorang sahabat saya, orang yang mula membuat perubahan itulah yang akan menerima tentangan yang hebat, seperti adat bersanding dulu, namun lama-kelamaan masyarakat mula belajar dan faham.Saya amatlah berharap golongan agama tidak merosakkan keindahan agama. Dan saya amatlah berharap cerita ‘Ghost Whisperer’ tidak mempengaruhi pemikiran remaja.

No comments: