Tuesday 28 October 2008

Dari Sekolah Menuju Universiti I (Dedikasi Untuk Anak-anak Didik Yang Ditinggalkan)

Sewaktu saya menerima tawaran pertama untuk menjadi guru ganti di SMKA Al-Mashoor Perempuan saya baru sahaja tamat pengajian di Universiti al-Azhar lebih kurang 6 bulan. Saya pulang ke Malaysia pada hujung Ogos 2004. Pada awalnya saya berhasrat menyambung terus pengajian saya untuk peringkat Sarjana di Universiti yang sama dalam bidang Usul Feqh. Untuk mencapai impian tersebut saya cuba mengumpul sedikit kewangan dengan merantau ke bumi asing pada cuti semester tahun 3, mencari sedikit sumber kewangan bagi menyambung pelajaran. Dalam perantauaan tersebut saya menimba sejuta pengalaman berharga yang tidak mungkin didapati dalam kelas atau menelaah buku pelajaran.

Namun impian tersebut terpaksa dipendamkan, hasrat keluarga untuk saya pulang ke tanahair saya turuti. Apalah gunanya mengejar impian andai tiada keberkatan dari ibu-bapa. Apatah lagi adik-adik yang masih ramai ketika itu semuanya masih belajar.

Ketika saya pulang ke tanahair saya mendapat makluman dianggarkan lebih 80, 000 graduan tempatan masih menganggur tiada kerja tetap. Saya merasakan kepulangan saya ketika itu cuma menambahkan lagi bilangan yang sedia ada. Mencari pekerjaan yang sesuai untuk membantu keluarga ketika itu memang amat sukar.

Sikap saya yang tidak suka menanti membuatkan saya hanya mampu menganggur di rumah cuma untuk tempoh 2 minggu. Saya terlihat iklan di sebuah kedai kereta, dan tidak malu untuk dinyatakan bahawa saya pernah berkerja sebagai pencuci kereta. Saya masih ingat lagi ketika seorang 'uncle' cina yang berkerja dengan saya sering bertanya:

"Tak malu kerja dekat sini, nanti kawan-kawan tengok, ada ijazah buat pa keja dekat sini"

Saya cuma tersenyum. Ketika itu kami sedang mencabut rumput di tapak penjualan kereta. Kadang-kadang saya juga ditugaskan menghantar surat-surat dan dokumen pejabat ke bank oleh bos saya yang berbangsa Cina. Cuma terasa sedikit keletihan sewaktu tibanya Ramadhan pada sebelah malamnya apabila saya perlu ke surau menjadi imam solat Tarawih pada tahun tersebut.

Di sebalik kerja yang tidak seberapa itu saya mampu menyimpan sedikit kewangan dan saya mula menyimpan hasrat untuk menyambung pengajian sarjana di universiti tempatan. Namun takdir telah menentukan saya terlibat dengan kemalangan dalam bulan Disember 2004. Mujur, tiada kecederaan parah cuma rasa sengalnya mengambil masa dua bulan untuk hilang.

Pada Mac 2005 kalau tidak silap saya,saya mula menimba pangalaman sebagai guru, guru ganti di SMKA al-Mashoor (P). Ia sebuah sekolah yang baik, yang juga mampu melahirkan insan-insan yang baik.

No comments: