Friday, 24 October 2008

Putra-putri Remajaku...Alihkan Cintamu...

Mengalih Perhatian

Selain dari sudah terlalu banyak buku-buku dan penulisan-penulisan yang merungkai permasalahan cinta remaja, salah satu sebab mengapa saya tidak memenuhi ruang ini untuk memberi pandangan atau komentar tentang permasalahan cinta dan percintaan yang dilontarkan kepada saya oleh putra-putri remaja yang saya kasihi ialah kerana untuk mengalih perhatian cinta itu sendiri.

Meringankan Bebanan

Pada sebahagian keadaan saya memberi pandangan, menceritakan pengalaman-pengalaman tertentu kepada individu-individu yang terlibat bagi kes-kes yang tertentu untuk sebuah penyelesaiaan yang diharapkan harmoni. Dan kita berharap mudah-mudahan dengan sumbangan yang sedikit-sebanyak itu mampu meringankan sedikit bebanan meskipun ianya tidak seberapa.Dan kita yakin dengan seruan baginda yang bermaksud:

'...Dan barangsiapa yang melapangkan kesulitan seorang muslim, maka Allah Taala akan melapangkan kesulitannya di hari Kiamat kelak...' ( Hadis Riwayat Bukhari )

Maka tulisan ini saya titipkan sebagai jawapan kepada putra-putri remaja yang mengirim pertanyaan berkenaan cinta.

Mengalih Cinta Bukan Untuk Melawan Fitrah

Kita bukanlah bermaksud mengalih cinta remaja itu ialah dengan mengajar remaja melawan fitrah yang terdapat dalam diri setiap insan namun adalah sesuatu yang bijak sekiranya remaja mampu mengalih cinta mereke buat seketika kepada mencintai sesuatu yang tidak melalaikan, merosakkan dan membinasakan mereka malah menguntungkan diri mereka pula. Kita yakin apabila cinta itu subur pada waktu yang diizinkan syara' maka ia akan menjadi pahala dan penghalang dosa.

Dimensi Cinta Remaja

Dimensi cinta ramaja kebanyakannya menyasar ke suatu arah iaitu menyintai insan yang terhalang atau tidak mampu untuk mereka miliki sepenuhnya akibat faktor usia. Faktor yang menghalang ini seakan menjadi motivasi pendorong untuk mereka melakukan pelbagai pengorbanan demi cinta. Dan usaha-usaha pengorbanan ini digambarkan oleh amarah nafsu sebagai sesuatu yang mulia dan perlu untuk diteruskan. Sayangnya faktor ini akhirnya membawa mereka ke suatu dimensi cinta yang sempit serba terkongkong dari melihat dimensi-dimensi cinta yang lebih luas di alam remaja.

Cinta Itu Mugkin Mampu Dikawal Namun Selalunya Sering Tersasar

Sekiranya aura cinta itu masih mampu dikawal maka ia hanyalah merupakan bibit-bibit permulaan yang sekiranya dijanakan akan membentuk suatu kuasa yang mugkin diluar kawalan iman, maka cinta itu selalunya sering tersasar. Oleh kerana kuatnya kuasa cinta dan rindunya itu al-Imam Ibn Qayyim al-Jauzi telah menyenaraikan 'Cinta Rindu' itu merupakan satu jenis penyakit di dalam kitab Tibb an-Nabawinya.

Daerah Yang Kelihatannya Bahagia

Remaja yang berada di daerah cinta kelihatannya bahagia namun hakikatnya mereka terperangkap dalam ruang sempit untuk bergerak lebih ke hadapan tanpa kongkongan cinta insan yang mereka kasihi. Akibatnya mereka sering ketinggalan dari rakan-rakan yang lain yang sedang berlumba-lumba mencipta kejayaan dan kecemerlangan. Ruang hati yang sepatutnya diisi dengan kecintaan penuh terhadap ilmu pengetahuan telah diambil sebahagiannya oleh cinta terhadap insan yang dikasihinya malah sesekali berlaku pertempuran hebat dalam diri sendiri. Ruang fikiran yang luas untuk diisi ilmu juga sesekali menjadi sesak akibat beban memikirkan orang yang dicintainya. Sekiranya anda adalah seorang remaja putra atau putri yang belum terjebak dengan masalah cinta maka ketahuilah mencegah dari bercinta pada bukan waktunya adalah langkah bijak dari merawat cinta itu sendiri.

Mencintai Si Dia Kerana Allah

Sebahagian remaja Muslim beranggapan bahawa mereka mempunyai alasan yang kukuh untuk bercinta dengan alasan bahawa mereka mencintai orang yang mereka cintai tersebut kerana Allah. Namun sentiasa berlaku percanggahan antara tutur kata dan tindakannya di mana tindakannya tidak menunjukkan bahawa dia mencintainya kerana Allah. Seseorang yang mencintai seseorang kerana Allah tidak mungkin sanggup membelakangkan peraturan-peraturanNya kerana cintanya itu dibina didasarkan atas keimanan dan ketakwaan kepadaNya. Sebetulnya mungkin bahawa kita sebenarnya mungkin boleh mencintai seseorang kerana akhlak dan ketaatannya kepada tuhanNya namun jauh sekali untuk mencintainya melalui cara yang tidak diredhaiNya. Ini diterjemahkan dari maksud sabda baginda nabi sallallah ‘alaihi wasallam terhadap mereka yang layak memperolehi kemanisan iman antaranya'....dan tidaklah dia mengasihi seseorang kecuali kerana Allah..'Doa baginda nabi: 'Ya Allah aku memohon cintaMu, dan cinta orang yang mencintaiMu, dan cinta kepada amalan yang mampu mendekatkan diriku kepadaMu'Mengalih

Cinta Kepada Sesuatu Yang Lebih Besar Kenikmatannya

Oleh kerana cinta adalah suatu fitrah. Maka mengalihkannya ke arah mencintai sesuatu yang lebih besar kenikmatannya adalah sesuatu yang lebih membahagiakan, mengenyangkan dan menenangkan. Dan hati yang sibuk terisi dengan kecintaan yang lebih besar sukar diganggu oleh kecintaan yang kecil ruang lingkupnya.

Mengalih Cinta Dengan Menyibukkan Diri Dengan Tuhannya

Remaja Muslim perlu mengalih kecintaanya kepada yang kecintaan yang lebih besar iaitu mencintai tuhan yang menciptanya. Perkara ini boleh dilakukan dengan menyibukkan diri dengan melakukan pelbagai bentuk ketaatan. Sesugguhnya kenikmatan yang besar yang mampu dimiliki ialah ketenangan dan ketenteraman berbanding percintaan antara insan yang yang sering berantakan serta penuh kekalutan dan kekecewaan. Dan mafhum sabda baginda nabi sallallah alaihi wasallam salah satu dari tujuh golongan yang akan mendapat lindungan arasy Allah di hari Kiamat ialah belia yang hidup dalam ketaatan kepadaNya.

Mengalih Cinta Dengan Mendidik Diri Mencintai Rasul dan Sahabatnya

Salah satu dari keindahan cinta yang besar ialah hati yang mampu hidup dalam kecintaan terhadap Rasulullah dan para sahabat baginda. Merasai keperitan, kesusahan dan ketabahan perjuangan baginda dan para sahabat mampu memberi suntikan-suntikan iman buat remaja yang ingin merasai kekuatan spiritiual dari generasi yang terdahulu. Betapa hebatnya kecintaan anak muda yang bernama Mus’ab terhadap baginda sehingga sanggup meninggalkan kekayaannya untuk menikmati kecintaan terhadap Islamnya.Anda perlu rajin membaca-ulang sejarah baginda Rasulullah dan para sahabat baginda kerana mereka adalah insan-insan terpilih untuk dipelajari, diteladani dan dicintai. Sekiranya anda sanggup menghabiskan novel-novel yang begitu tebal muka suratnya mengapa tidak untuk meluangkan masa menghayati perjalanan sirah baginda.

Mengalih Cinta Kepada Kecintaan Terhadap Ilmu Pengetahuan

Sekiranya anda berpeluang membaca karya Sheikh Abd Fattah Abu Ghudah yang bertajuk ‘Nialai Masa Di sisi Ulama’ maka anda akan temui bagaimana kenikmatan para ulama merasai kecintaan terhadap ilmu yang amat berharga. Didiklah diri bercinta dengan majlis ilmu dan buku kerana ilmu pengetahuan mampu meluaskan minda anda kepada kecintaan dari pelbagai dimensinya.

Santapan Hati Bersama al-Quran

Al-Quran itu merupakan makanan hati bagi orang-orang yang beriman. Sesiapa yang merasai kenikmatan dan keindahan ayat-ayatnya adalah insan-insan yang cukup bertuah. Sekiranya anda memahami bagaimana Syed Qutub mengarang tafsir Zilalnya anda seakan-akan melihat beliau seakan-akan berinteraksi dengan al-Quran itu sendiri.

Nasihat Saya Kepada Remaja Kurangkan Menonton TV

Sekiranya anda adalah remaja kaki menonton TV maka kurangkanlah masa anda berada di hadapannya kerana kebanyakan program-program yang disajikan di kaca TV kurang faedahnya. Atau pilihlah rancangan-rancangan yang mampu meluaskan pemikiran anda dan jauhkan dari filem ataua drama-drama yang banyak berkisarkan cinta yang tak berkesudahan sekiranya anda ingin membuat percubaan mengalih cinta anda. Saya lebih suka adik-adik saya menonton kartun Spong Bob dari menontot filem Bollywood yang asyik bercinta, menari dan mengalirkan airmata.Sekiranya anda punya masa untuk berkhayal atau berangan-angan mengingati orang yang anda cintai maka tukarkanlah sekali-sekala dengan bermuhasabah atau bertafakur melihat kebesaran ilahi sambil melihat bulan dan bintang serta berfikir tentang kebesaranNya mencipta galaksi-galaksi yang tidak diketahui banyaknya. Dari situ anda akan merasa kekerdilan diri sebagai seorang hamba musafir di bumiNya. Dengan itu anda telah mengalih angan-angan anda dari mengingati insan kepada Penciptanya.

Untuk Remaja Yang Sudah Terjebak Dengan Cinta Bukan Pada Waktunya

Sekiranya cinta itu mengerti hukum dan waktu nescaya saya akan menyarankan anda berhenti menyintai seseorang sebelum anda telahpun melanggar batas-batasnya. Namun oleh kerana cinta itu adalah cinta yang sukar untuk dijelaskan dengan perkataan maka kekuatan diri anda boleh menentukan keputusannya. Sekiranya anda serius untuk mengubah diri serta menyedari akan kelalaian diri terjebak agak terlalu awal dalam permasalahan ini mungkin guru-guru atau sahabat-sahabat anda dapat membantu anda.Tiada masalah yang tidak boleh selesai, cuma anda perlu bersabar dan boleh jadi anda sedang bertarung perasaan antara cinta, kasihan atau simpati kepada si dia. Apapun keputusan anda samada meneruskan atau menangguhkan cinta anda, untuk memutuskan terlalu pedih pula bunyinya, berkogsilah masalah anda dengan orang yang boleh dipercayai seperti ibu-bapa, abang, kakak atau guru-guru anda. Dan jangan anda ceritakan masalah anda kepada orang yang mungkin mempunyai kepentingan terhadap diri anda.



Akhir kata untuk pelajar-pelajar dan bekas pelajar saya khasnya, bermula dari
SMKA al-Mashoor (P), SMKA al-Mashoor (L), MM Yan dan MM Bandar Baharu, saya sentiasa mendoakan kejayaan anda… dan maafkan saya kerana kurang masa untuk menjawab semua persoalan yang diutarakan...Salam Kasih dari dimensi seorang guru kepada anak-anak didiknya……




...I Believe YOU can divert it....

1 comment:

mocha said...

salam.syukran atas pencerahan tentang cinta remaja. ustaz, ana nak tanya, bilakah masa yang sesuai untuk seseorang wanita atau lelaki mendirikan sunnah berumahtangga? dan bagaimanakah jalan yang perlu diikuti yakni agar mendapat redha-Nya?