Sunday 19 October 2008

Nilai Waktu Dalam Kehidupan Muslim

Mafhum sabda Rasulullah sallallah alaihi wasallam:Maksudnya:

'Dua nikmat yang sering dilupai oleh manusia: kesihatan dan masa lapang'

Seorang penyair Arab pernah bermadah:Maksudnya:

'Dan waktu itu adalah perkara paling bernilai yang aku cuba untuk menjaganya, dan aku melihat ianya merupakan perkara yang paling mudah kau hilangkan'

Disiplin Para Sahabat Dan Salaf Dalam Penjagaan Waktu.

Oleh kerana waktu itu amat bernilai maka para sahabat dan salaf adalah orang yang paling tegas dan berdisiplin dalam penjagaan waktu kerana mereka adalah generasi yang paling mengetahui tentang nilainya dan mereka adalah sebaik-baik generasi. Antara kata-kata mereka:

'Di antara tanda-tanda kecelakaan ialah ialah mensia-siakan waktu',


' Waktu itu umpama pedang sekiranya kamu tidaki memotongnya maka ia akan memotong kamu'
Ibn Abi Hamzah dalam kitab Bahjatunnufus mengatakan: 'Maksud ibarat di atas ( waktu umpama pedang ) adalah supaya diisi waktu itu dengan kesibukan dan jangan dibiasakan dengan menunda-nunda. Dengan maksud lain, apabila kamu tidak bersiap untuk mengambil manfaat dalam setiap kesempatan, maka kamu akan binasa seperti orang yang dipancung pedang. Perumpamaan ini adalah supaya kita menjadi orang yang tegas seperti waktu kerana timbulnya penyesalan itu disebabkan tidak tegas'

Begitulah keadaan para sahabat dan salaf yang sentiasa cuba untuk meningkatkan diri mereka dari satu tahap ke tahap yang lebih baik sehingga menjadikan hari ini dalam hidup mereka adalah lebih baik dari kelmarin dan esoknya adalah lebih baik dari hari ini.Kata mereka:

'Sesiapa yang hari ini dalam hidupnya adalah seperti kelmarin maka dia adalah orang yang rugi, dan sesiapa yang hari ini adalah lebih buruk dari kelmarin maka dia adalah orang yang celaka'
Imam Hasan al-Basri pernah berkata:Maksudnya:

' Wahai anak Adam, sesungguhnya dirimu merupakan bahagian-bahagian dari hari-hari yang telah ditentukan, apabila berlalu hari maka berlalu jugalah bahagian hidupmu. Dan dikhuatiri nanti apabila telah berlalu sebahagiannya maka akan berlalu jugalah keseluruhannya sedangkan engkau sendiri tahu akan hal ini maka beramallah '


Generasi awal ini sangatlah mengambil berat terhadap penggunaan waktu supaya tidak berlalu sehari ataupun sedetik darinya melainkan dalam keadaan mengisi dan menambah ilmu yang bermanfaat, beramal soleh, bermujahadah melawan nafsu atau membantu dengan memberi manfaat kepada orang lain. Mereka adalah insan yang cemerlang dalam memanfaatkan usia mereka.Kata Ibn Mas‘ud:Maksudnya:

' Aku tidak pernah menyesali akan suatu hal, seperti penyesalanku ke atas hariku yang apabila terbenam mataharinya ( berlalu ), di mana umurku telah berkurang sedangkan amalanku tidak bertambah ( di dalamnya )'.

No comments: