Monday 20 October 2008

Ummu Syuhada: al-Khansa Binti Amru

Melawan Ketakutan

Dalam beberapa latihan kepimpinan adakalanya saya melihat anak-anak didik saya ada yang kelihatan sedikit takut-takut untuk mencuba sesuatu arahan yang diberikan. Begitulah saya ketika usia remaja dulu. Setiap percubaan untuk memimpin sesuatu pasukan adakalnya melalui sedikit rasa takut dan gementar. Keberanian itu datang dengan kita melawan ketakutan atau setidak-tidaknya cuba menyembunyikan perasaan gementar dalam diri kita. Dengan mencubanya kita mendapat pengalaman, dengan pengalaman membentuk keyakinan. Sebelum membuat satu terjunan, salah seorang penerjun payung udara di Eropah pernah ditanya apakah sebab dia ingin mencuba melakukan terjunan ini. Dia menjawab: 'Saya agak takutkan ketinggian, saya harap dengan percubaan ini mampu mengurangkan rasa takut saya'.

Wanita Yang Bernama al-Khansa Binti Amru

Saya selalu menceritakan kisah seorang wanita Islam yang bernama al-Khansa binti Amru kepada anak-anak didik saya. Beliau berjaya mendidik kesemua putranya menjadi insan yang berani. Keberanian pada tempat dan waktunya adalah satu sifat yang terpuji. Apabila saya menyebut namanya itu di hadapan anak-anak didik saya buat pertama kalinya, sebahagiannya belum mengenali tokoh wanita Islam itu. Maka saya sarankan kepada mereka supaya membaca kisahnya. Ia kisah perjuangan, kesabaran dan keberanian yang menarik untuk ditatapi.

Saving Private Ryan

Kemungkinan kita terpaksa menanti lama lagi untuk melihat kisah-kisah hebat seumpama al-Khansa' itu difilemkan. Kita ketandusan filem-filem yang mempunyai nilai karisma kepimpinan, keyakinan dan meniup semangat perjuangan seperti Umar Mukhtar, sedangkan barat telah mengolah beberapa cerita menarik, yang sepatutnya kita mendahuluinya. Sebagai contohnya di sana ada satu kisah menarik, yang mampu dipelajari sesuatu darinya..seperti' Saving Private Ryan'. Seorang ibu yang mempunyai empat orang anak, kesemuanya dihantar ke medan peperangan, tiga dari mereka telah disahkan mati, tinggal seorang yang mungkin masih hidup. Satu operasi dihantar di tengah suasana peperangan untuk mencari seorang anaknya yang masih hidup. Operasi yang memerlukan keberanian dan karisma yang tinggi dalam kepimpinan. Adaptasi dari kisah benar ini menarik untuk ditontoni. Sekiranya saya adalah seorang 'producer' filem, mungkin kisah al-Khansa saya olah untuk difilemkan. Seorang ibu yang kehilangan keempat-empat anaknya dalam peperangan. Dan apabila berita itu sampai kepada si ibu, dia menerima berita tersebut dengan tenang, gembira dan hati tidak bergoncang. Dan dia terus memuji Allah dengan ucapan:'Segala puji bagi Allah,yang telah memuliakanku dengan kesyahidan mereka, dan aku mengharapkan dari Tuhanku, agar Dia mengumpulkan aku dengar mereka di tempat tinggal yang kekal dengan rahmat-Nya!'. Dari peristiwa peperangan itu, ibu itu mendapat gelaran kehormatan 'Ummu Syuhada' yang ertinya ibu kepada orang-orang yang mati syahid. Begitulah mungkin peristiwa itu saya akhiri pada kesudahan filem tersebut sebagai epilognya.Namun saya bukanlah seorang producer atau director filem, saya cuma seorang guru, dan juga seorang Muslim yang ingin melihat lahirnya generasi kepimpinan Muslim yang punya sifat Izzah, jatidiri, keberanian dan kesugguhan dalam menjunjung tinggi syariat Allah dan RasulNya.

1 comment:

GESIT said...

ini lagu yang terdengar lagu apa ya?